Keresahan Hatiku Melanda ?

Merujuk kepada persoalan ukhti athirah (bukan nama sebenar) tentang 4 persoalan yang diajukan kepada penulis. Namun di sini penulis akan bersedia menjawab 3 persoalan terlebih dahulu kerana satu soalan itu melibatkan hukum. Penulis juga turut membuat kajian terlebih dahulu sama ada merujuk kepada ustaz ataupun kitab. Maaf ya. Soalan yang diajukan “macam mana nak hilangkan rasa bersalah pada orang yang kita buat salah. walaupun dah minta maaf, tapi mungkin susah nak mempercayai”.

Ramai orang beranggapan membuat kesilapan terhadap manusia adalah satu perkara yang kecil. Andaian itu silap. Apabila kita merujuk dimensi yang mana menghubungkan 3 perkara iaitu : Amalan ‘hablum minallah’ (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia. Lagi satu adalah hubungan dengan alam sejagat.

Tetapi penulis ingin fokuskan antara hubungan Allah dengan manusia bagi menjawab persoalan di atas. Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memperhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.

Allah SWT ada berfirman yang membawa maksud :

“Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai”
(3 : 103)

Ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa ukhwah itu sangat penting dalam kehidupan kita. Penulis sendiri mengaku pernah bermasam muka dengan sahabat sendiri gara-gara ketidakpuashatian yang melanda. Namun sejak berada di dalam kampus ini, penulis sering mendengar nasihat tentang sifat kesabaran. Ukhti athirah, walaupun kamu sudah diberi kemaafan dari sahabatmu janganlah terasa terlalu bersalah. Mungkin musuh Allah sedang berbisik untuk meresahkan keadaan kamu. Beristighfarlah kepada Allah. Buangkan sifat was-was tersebut. Penulis sertakan 3 perkara untuk dijadikan sebagai renungan bersama

1) Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai satu komitmen terhadap perhubungan dan bukannya satu kelemahan diri.

2) Anda mesti berniat ikhlas. Meminta maaf terhadap perkara-perkara yang anda benar-benar berasa bertanggungjawab terhadapnya, jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana.

3) Beri masa kepada orang berkenaan untuk menenangkan perasaannya dan jangan berasa tawar hati sekiranya anda tidak dimaafkan sepenuhnya pada masa anda meminta maaf.

Ingatlah Rasulullah walaupun dihina atau dicerca tetap dibalas dengan kebaikan seperti mana firman Allah yang membawa maksud :

”Dan sesungguhnya engkau(Muhammad) mempunyai budi pekerti yang luhur”
( 68 : 4)

Berkenaan persoalan yang kedua mengenai friendster digodam pula. Nampaknya ukhti athirah sudah terlewat untuk menukar kata laluan. Penulis tidak dapat membantu dalam perkara ini. Jikalau ukhti inginkan semula friendster tersebut, penulis InsyaAllah boleh membantu. Itupun kalau hacker tersebut tidak tahu cara yang penulis gunakan. Tetapi situasi sekarang amat sukar dijangka. Untuk cara yang kedua, ukhti klik pada “forgot password”. Kemudian kata laluan tersebut akan di hantar terus ke e-mail anda (sekiranya penggodam tersebut tidak menukar e-mail). Jadi bertawakal sahajalah.

Persoalan yang ketiga pula “macam mana nak berhadapan dengan pensyarah lelaki? Ya, macam mana nak belajar dengan tenang? Macam mana nak buat kedudukan duduk?”. Ai macam penulis ni seorang motivator pula. Bagaimana untuk berkomunikasi dengan pensyarah lelaki? Kembali kepada fitrah iaitu tidak melunakkan ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman Allah SWT

”Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik”

(33: 32)

Kadang-kadang penulis ada juga terlihat tentang tingkah laku mahasiswi yang suka melenggokkan suara kepada pensyarah. Ingatlah suara kalian boleh menggegarkan iman seorang lelaki hatta yang tok imam lalu sebelah pun boleh tersungkur. Seperti mana menundukkan pandangan, Allah memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman Allah yang membawa maksud :

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.”
(21: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, Allah berfirman yang membawa maksud :

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.”
(21: 31)

Seandainya ukhti ingin berjumpa dengan pensyarah lelaki secara berseorangan pastikan bilik tersebut dibuka luas agar tidak berlakunya fitnah. Seperti mana Allah SWT berfirman yang membawa maksud :

“Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan”
(2 : 191)

Persoalan yang seterusnya ukhti disarankan ketika belajar hendaklah duduk secara menegak dan dalam keadaan bersandar. Ia boleh dikategorikan sebagai “relax and respon”. Sekiranya mengantuk anda boleh membuat senaman pernafasan secara individu ataupun meminum air yang tidak bergula. Bagaimana untuk belajar dengan tenang? Ketika mana di dalam kelas, pastikan masalah peribadi ataupun organisasi jangan dicampur adukkan.

Ketika mana penulis belajar di sekolah dahulu. Ustaz selalu menasihatkan sebelum memulakan pembelajaran sedekahkan al-fatihah kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW dan kepada kedua ibubapa kita walaupun mereka belum meninggal dunia. Ia sebagai satu keberkatan dan apabila menyebut tentang perkara ini.

Pokoknya dalam mendalami ilmu tidak kira di mana jua anda berada keberkatan dari seorang guru menjadi perkara utama. Ingat! Tanpa keberkatan ilmu daripada seorang guru, kehidupan anda pasti tidak akan bermakna. Ada kisahnya tetapi tidak perlulah penulis menceritakannya. Nampaknya 3 persoalan yang diajukan kepada penulis, dengan izin-Nya sudah dilaksanakan. Sekiranya ada kekurangan ataupun penambahan sila maklumkan pada penulis ya. Assalamualaikum..

Leave a Comment