
“Ini notanya, yang sebahagian lecturer bagi”
“Ok syukran eh… tapi nota yang mana satu………..” Saya bertanya.
“Assalamualaikum!!!”
Seorang lelaki berjubah, berserban berteriak memberi salam ke arah kami berdua.
“Korang ni … adik-beradik ke?” Tanya lelaki itu.
“Bukan, hanya kawan sek….”. Percakapan saya dipotong.
“Dah blah, kalau tak siap kau!”. Sambil menunjukkan isyarat mengelar leher.
Tidak semeja tapi jarak semeter lebih mungkin. Saya saling berpandangan antara satu sama lain. Saya bingkas bangun dan berlalu pergi. Saya sempat menjeling ke arahnya yang ketika itu sedang berada di atas tunggangan motorsikalnya.
“Oh budak tabligh…” Bermonolog sendirian.
Ketika itu berada dalam semester 1 di sebuah pusat pengajian tinggi, kurang dari sebulan mungkin. Kekeliruan sedikit timbul.
#1 Berkemungkinan pelajar lepasan sekolah agama lelaki akan berfikiran….
“Oh, tidak boleh berjumpa di antara satu sama lain. Nanti akan ada orang ketiga. ”
#2 Berkemungkinan pelajar lepasan sekolah agama perempuan akan berfikiran….
“Oh, tidak boleh berjumpa di antara satu sama lain juga. Nanti akan ada orang ketiga”
#3 Berkemungkinan pelajar lepasan sekolah biasa akan berfikiran….
“Jumpa depan orang ramai kot, bukannya berdua-duaan pun. Bagi nota je kot”
Method yang dibawakan agak mengelirukan sebenarnya.

Sumber Imej : Fauzan
MENEGUR DAN DITEGUR
Bertegurlah secara berhikmah. Datangkan dengan kelembutan, bukan dengan kekerasan.
“Kita patut hukum orang yang tak jaga aurat, kita patut hukum mereka dengan hukuman berat. Tetapi jika anda degil, keluar daripada institusi ini” Petikan kata-kata dari pimpinan salah sebuah IPT Islam.
Saya membaca satu persatu komentar yang dilontarkan di laman sosial tersebut. Ada yang bersetuju, ada juga yang membantah. Si fulan yang bersetuju mungkin datangnya dari golongan yang berpendidikan agama, si pembangkang pula mungkin datangnya dari golongan pendidikan sekular. Namun, bukan kita mahu mencari siapa yang betul, siapa yang salah. Tetapi apakah solusi yang dirasakan sesuai untuk mengatasi masalah ini.
PERJALANAN SEBUAH KEHIDUPAN
A) Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Sekular >> Sekolah Menengah Sekular >> IPT Islam
B) Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Sekular >> Sekolah Menengah Agama >> IPT Islam
C) Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Agama >> Sekolah Menengah Agama >> IPT Islam
D) Sekolah Tadika Agama >> Sekolah Rendah Agama >> Sekolah Menengah Agama >> IPT Islam
E) Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Sekular >> Sekolah Menengah Agama >> IPT
Saya menyenaraikan secara rawak latarbelakang seseorang individu berdasarkan pengajian yang diambil. Ini adalah pendapat yang saya ambil, mungkin benar mungkin tidak. Anda berhak menilainya.
Namun di sini saya akan memfokuskan pada kategori A dan B yang saya kira ia agak popular untuk diketengahkan . Untuk pencerahan, saya sendiri berada di kelompok B yang mana pendidikan agama secara menyeluruh bermula dari sekolah menengah agama.

Sumber Imej : Google
Saya akan datangkan beberapa isu di sini.
Pertama :
‘Aisyah baru sahaja menamatkan peperiksaan UPSR dan selepas itu dia mendapat keputusan yang cemerlang. Seterusnya ‘Aisyah melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah menengah agama di Selangor. Datangnya dari berlatarbelakangkan sekolah sekular, ‘Aisyah sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baginya sangat berlainan.
Dahulu dia tidak memakai tudung, tetapi kini dipaksa memakai tudung. Labuh pulak tu. Sebelum ini dia selalu memakai baju berlengan pendek, ketat pulak tu. Tetapi kini, sudahlah lengan panjang, labuh sampai ke paras lutut pula. Proses pentarbiyahan berlaku ke atas diri ‘Aisyah. Sesungguhnya Allah SWT ada berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-R’ad : 11)
Mungkin datang dari keluarga yang tidak menekankan aspek agama dalam kehidupan, ‘Aisyah mengambil masa agak terlalu lama untuk menyesuaikan dirinya. Mungkin setahun, mungkin dua tahun dan mungkin tiga tahun. Bergantung kepada dirinya sendiri. Namun perubahan seseorang itu adakalanya boleh menjadi singkat apabila berada dalam suasana tersebut.
Selang beberapa tahun berada di sekolah tersebut, ‘Aisyah kini berubah menjadi muslimah sejati. Baginya Allah SWT adalah segala-galanya. Dia berjanji pada dirinya akan sentiasa istiqamah dengan perubahan yang dimilikinya.
Selepas itu, ‘Aisyah melanjutkan pengajiannya di IPT Islam. Dia sentiasa berdakwah kepada sahabat-sahabatnya. Cuba mengajak ke arah kebaikan.
(Saya berhentikan sementara watak ‘Aisyah)
Kedua :
Nurul baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat SPM. Sementara menunggu kemasukan ke pusat pengajian IPT, dia telah bekerja di salah sebuah restoran makanan terkenal. Alhamdulillah, ayah dan ibunya sentiasa berpesan kepadanya agar sentiasa bertudung walau di mana sahaja. Di samping itu, ayahnya turut berpesan agar sentiasa menjaga solat walau di mana dia berada.
Selang beberapa bulan, Nurul ditawarkan melanjutkan pengajian di salah sebuah IPT islam. Rakan-rakannya hairan mengapa dia memilih sebuah IPT Islam sedangkan banyak lagi universiti lain yang menawarkan kursus yang sama. Baginya suasana yang baru itu adalah satu pengalaman yang bermakna buat dirinya.
Harinya bermula apabila bergelar seorang mahasiswa akauntan di salah sebuah IPT Islam. Walaupun tidak berlatarbelakang pendidikan agama, dia sentiasa cuba menekankan adab kesopanan sebagai seorang wanita. Pakaiannya ringkas, bertudung bawal, cuba berbaju kurung, bersandal.
Sedang berjalan menuju ke kuliah, dia disapa oleh seorang kakak senior.
“Mana tudung labuh awak?”
“Err….err…..”
“Apa err…err… saya tanya mana tudung labuh awak?”
“Ada kak, tapi saya tak pandai lagi cara nak pakai”
“Takkan benda simple pun tak tahu” Senior itu cuba mencari kesalahan.
“Sungguh kak, saya sebenarnya masih baru lagi, masih belajar cara nak menyesuaikan diri dengan keadaan di sini”
“Erm… stokin mana? hand sock mana? Eh tau tak ni peraturan kat universiti ni?”
“Tau kak, tapi saya masih cuba nak menye……”
“Awak, jangan buat alasan. Bila jadi pelajar baru, buat cara macam pelajar baru”
Nurul meminta maaf dan terus berlalu pergi. Suasana baru itu memberi satu tekanan besar buat dirinya sendiri. Niat dihati untuk berubah, tetapi dia perlukan masa. Sukar baginya untuk membuat perubahan yang mendadak secara tiba-tiba. Inilah kali pertama dia berada dalam suasana yang sentiasa menerapkan nilai-nilai Islam. Kiri kanan wanita berjubah labuh, depan belakang berbaju kurung, hujung sana bertudung labuh, hujung situ bertudung bidang enam puluh.
Tidak pula semasa dia di alam persekolahan, memakai lengan pendek itu dianggap biasa. Imej biasa, imej sempoi bertudung plus berseluar jeans.
Tahukah kalian, insan yang menegur Nurul itu adalah ‘Aisyah. Mengapa saya mempertemukan dua watak di antara ‘Aisyah dan Nurul?
Jawapannya akan saya berikan sebentar lagi.
Kata senior tahun 2
“Kalau dah masuk lembu, buat cara macam lembu. Dah tahu kat sini ada undang-undang, ikut dan patuh”
Kata senior tahun 3
“Kalau tak boleh ikut undang-undang kat sini, keluar je dari universiti ni, tak payah belajar sini”
Siapakah ‘Aisyah?
Saya meletakkan ‘Aisyah di dalam kelompok B
Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Sekular >> Sekolah Menengah Agama >> IPT Islam
Siapakah Nurul?
Saya meletakkan Nurul dalam kelompok A
Sekolah Tadika Sekular >> Sekolah Rendah Sekular >> Sekolah Menengah Sekular >> IPT Islam
Dua insan yang datangnya dari cara hidup yang berbeza seperti sebelum ini.
‘Aisyah mula belajar tentang Islam secara lebih mendalam sejak dari sekolah menengah lagi. Berkemungkinan, dia sudah mempunyai sedikit pengalaman berada dalam suasana yang menerapkan nilai-nilai Islam itu sendiri berbanding Nurul.
MENGAPA BANGKITKAN ISU INI?
Kata senior tahun 2 dan 3 :
“Bukankah peraturan sudah menetapkan bahawa etika pemakaian adalah seperti yang dijelaskan dalam buku disipilin pelajar?”
Manusia yang mencipta peraturan, adakalanya manusia itu sendiri tidak mampu mengikutinya
Saya berdiri di hadapan pintu besar Pusat Konvensyen bagi menyambut ketibaan mahasiswa baru. Di samping itu, saya berkesempatan berbual dengan ahli keluarga mereka yang sedang menunggu sesi pendaftaran selesai. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai jenis ragam yang saya temui. Itu tidak termasuk dengan ragam si anak manja.
Soal pakaian? Ada fesyen jarang di dada, jarang di pinggul, tudung bersanggul dan bermacam lagi. Lelaki pula, ada datangnya dengan rambut berfesyen dan ada juga yang memakai rantai leher.
Mereka menyambung pengajian di IPT Islam semata-mata mahu menuntut ilmu dan mungkin mahu mencari titik perubahan. Tetapi ada sebahagian daripada kita asyik mencemuh, menghina dan menganggap kehadiran mereka itu seperti satu beban malah dianggap sebagai pelaku dosa sepanjang masa.
Sejahat-jahat mereka pun, mereka sedar bahawa Allah itu wujud. Mereka sedar, bahawa Allah itu satu. Mereka juga sedar bahawa agama mereka adalah agama Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”
(Al-Ankabut : 45)
Timbul lagi ketidakpuashatian. Bukankah solat itu mencegah dari kemungkaran. Habis mengapa mereka masih tidak mahu menutup aurat dengan sempurna, mengapa mereka mempunyai akhlak yang buruk?
Ketika mana seorang lelaki telah dilaporkan bersolat di malam hari, tetapi mencuri di pagi hari. Mendengar hal itu Rasulullah bersabda, “solatnya tidak berapa lama lagi akan menghentikannya dari (dosa) yang dikatakan.”
(Musnad Ahmad)

HIDAYAH ITU MILIK ALLAH
Saya juga masih dalam usaha untuk membentuk diri sendiri agar dapat meneruskan kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini. Ujian yang datangnya daripada Allah SWT itu dalam erti kata lain memberi kita peluang untuk membina satu kekuatan.
“Jadilah seperti hidupan di laut yang masin, biarpun sejak awal hidupnya bergelumang dengan masinnya air laut tersebut, tetapi isinya tidak pula menjadi masin.”
Lihatlah saudara-saudara kita di luar sana antaranya Bok Lokman, Sham Kamikaze, Kumpulan Ruffedge, Innuendo dan ramai lagi. Mereka ini telah berada di sebuah landasan yang sedang menuju ke jalan arah kebaikan. Masing-masing sedar akan hakikat bahawa dunia ini diciptakan untuk manusia, dan manusia itu diciptakan untuk akhirat.
Perubahan yang kita lihat ke atas golongan ini mampu menarik lebih ramai lagi untuk mengikuti jejak langkahnya. Itulah cabaran yang kita perlu hadapi untuk merentasi ke sebuah sempadan.
Doakan kita bersama…
Allahua’alam….
Salamun’alaikum. Sangat tersentuh dan menarik. Diolah dengan baik. Cerita yang penuh pengajaran.
Wsalam, syukran…
salam..
tulah realiti sebenr….
menegur biarlah berhemah…
itu le baik dr kita menegur secara kasar…
Wsalam,
ya, itulah sebaik-baiknya…