Tidak hairanlah kalau skrip ini sering meniti di bibir kanak-kanak kecil. Saya pula sering tertanya-tanya di manakah skirp sedemikian muncul. Masakan tidak, ibu saya sering mengajukan trademark tersebut kepada cucunya. Namun, mesej yang disampaikan amat jelas dalam menekankan konsep kerjasama. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Bertolong-tolonglah kamu kepada perkara kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolong kepada perkara kejahatan”.
(Al-Maidah : 2)
Ayat di atas jelas menunjukkan manusia itu perlu membantu di antara satu sama lain. Namun ia perlu diperhalusi agar tiada cacat celanya dalam konteks lain matlamat tidak menghalalkan cara. Saya bawa satu contoh apabila si Zorro yang sering berjuang untuk masyarakat namun sering mencuri di waktu malam untuk dibahagikan kepada orang miskin.Walaupun niat membantu sudah mencakupi, namun dalam konteks tindakan ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Di sini saya bawakan dua konsep kerjasama yang perlu diterapkan dalam diri iaitu :
KERJASAMA DALAM KELUARGA
Institusi kekeluargaan merupakan satu platform penting yang diibaratkan sebagai satu wadah pembentukan jati diri. Untuk menentukan sesebuah keluarga itu dalam keadaan aman sejahtera maka kerjasama antara anggota keluarga merupakan salah satu faktor utama yang mesti dilaksanakan. Secara tidak langsung ia mempengaruhi pembentukan peribadi setiap anggota keluarga tersebut dalam menjalani kehidupan mereka seharian.
Ada satu kisah di mana Al-Aqra bin Habis suatu hari telah melihat Rasulullah SAW mencium cucunya Hassan RA, lalu al-Aqra berkata kepada Nabi, bahawa dia ada mempunyai sepuluh orang cucu dan anak tetapi tidak pernah mencium mereka, lalu Nabi bersabda kepadanya:
“Sesungguhnya orang yang tidak belas kasihan maka tiada ia dibelas kasihani oleh orang lain”.
(Imam al-Ghazali: Bimbingan Mu’min).
KERJASAMA DALAM PERGAULAN SAHABAT
Tidak kira kita di mana sama ada di kolej kediaman, padang permainan etika sebagai seorang sahabat perlu diitikberatkan. Saya sentuh dalam suasana kampus. Kebiasaannya kita perlu mencari ahli kumpulan bagi menyiapkan tugasan kerja kursus. Sama ada siap ataupun tidak, tepat pada masanya atau pun tidak, ia bergantung daripada hasil kerjasama dalam ahli kumpulan.
Tidak hairanlah, ada di antara ahli kumpulan yang sering menimbulkan permasalahan. Secara tidak langsung ia menjejaskan gerak kerja dalam mencari bahan. Saya juga tidak terkecuali dalam permasalahan ini.
Pergaulan dan kerjasama yang baik itu adalah buah yang baik dan kemurnian budi pekerti, manakala perpecahan pula adalah merupakan hasil yang tidak baik daripada budi pekerti yang buruk. Kemuliaan dapat dibina daripada kerjasama yang baik dalam memperjuangkan kebenaran yang diredhai oleh Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang luhur”.
(al-Qalam: 4)
Selain itu, seseorang muslim itu hendaklah menjaga lidah dan tutur katanya demi menjaga perhubungan sama ada dengan keluarga, para sahabat mahupun dengan jiran tetangga. Telah berkata Umar ibnu al-Khatab r.a., tiga perkara yang akan menimbulkan kasih sayang saudaramu terhadapmu ialah:
1. Memberi salam ketika bertemu dengannya.
2. Meluaskan tempat duduk baginya dalam suatu majlis.
3. Memanggil dengan nama yang disukainya.
Akhir kalam, untuk membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan prinsip-prinsip Islam maka ia memerlukan kerjasama yang sangat kukuh antara ahli masyarakat tersebut. Tidak ada kerjasama yang lebih baik melainkan dengan iman yang teguh untuk menuju kepada keredhaan Allah semata-mata. Tambahan pula, kerjasama ini melibatkan seluruh aspek kehidupan sama ada dari segi jasmani dan rohani.
Dalam proses pembentukan ini pengorbanan memainkan peranan yang penting tanpa pengorbanan proses ini tidak dapat mencapai ke tahap yang diingini. Pengorbanan ini termasuklah dalam bentuk material dan spiritual. Semoga kita dipermudahkan segala urusan olehNya.
Sila muat turun suara latar siri kartun Wonder Pets =p .. Klik Sini
11.29 PM
http://myikhtiar.com
Selangor