Bukan Mudah, Itu Jawapan Akak.

“Ustaz, macam mana dengan anak saya? Ok tak dia baca al-quran?” Ibunya bertanya.

“Setakat ni oklah, Cuma perlu selalu berlatih menyebut huruf” Komen saya ringkas.

“Tapi akak risau, anak akak degil sangat. Cakap sikit sudah melenting. Ikhtiar boleh bantu?”

Lidah kelu seketika, usia saya baru menjangkau 21 tahun, tidak mempunyai anak apatah lagi belum berkahwin.

“Erm macam ni la kak, kebetulan ayah saya sedang mengikuti pengajian Darus Syifa’ bersama Ustaz Harun Din, nanti saya dapatkan ayat al-Quran dalam mendidik anak.” Jawapan saya sekadar menyedapkan hati beliau.

“Bukan mudah untuk mendidik.” Ibunya memberi komen ringkas.


Saya hanya mengangguk. Perbualan itu terhenti seketika. Saya erat memegang cawan berisi teh o panas yang masih belum diteguk. Fikiran saya melayang kepada artikel yang penah saya paparkan di blog ini. “Pendidikan anak bermula dari mana”.

Saya masih terkial-kial dalam diam, benar bukan mudah untuk mendidik seorang anak. Kini fikiran saya melayang lagi dengan pertanyaan seorang ibu muda dalam blog kedua saya ikhtiar2u.com. Menamakan diri sebagai Puan Adilla. Meminta pendapat bagaimana mahu menentukan kehidupan anaknya pada masa akan datang.

Saya kira ia merupakan perkara subjektif yang perlu dikaji agar mudah diperhalusi. Saya masih tertanya-tanya di manakah silapnya dalam proses mendidik anak? Adakah berpunca dari didikan ibu bapa, atau sebagainya?

Secara ringkasnya kata kunci dalam proses mendidik anak kelak, adalah dengan mendidik diri kita dahulu.

Perkahwinan Itu Satu Matlamat?

“Ustaz, ustaz dah kahwin ke belum? Siapa ‘makwe’ ustaz?” Anak murid saya bertanya.

“Kahwin pun belum, ‘makwe’ tak main la..” Saya tertawa kecil.

Benarkah perkahwinan itu atas dasar melepaskan nafsu semata-mata? Benar, jika nafsu badan sukar ditahan, maka wajib baginya untuk dia berkahwin. Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan.

Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama. Sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang bermaksud :

“Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya, maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Oleh yang demikian, wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan. Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana’ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.

Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa.”
(Al-Hujurat : 13)

Seperti yang saya katakan tadi, apakah perkahwinan itu satu matlamat? Benar ia merupakan satu matlamat, namun apakah ia jelas sebuah keluarga yang dibina atas dasar agama Islam?
Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.

Jika Mantan Presiden Indonesia mengatakan pemuda itu aset negara sebagai pencetus revolusi kepada negara. Anggaplah ibu dan ayah sebagai perdana menteri, dan anak-anak sebagai aset dalam membina generasi institusi keluarga yang bahagia.

“Bukan Mudah”

http://myikhtiar.com
10:36 PM
31 Julai 2009

Leave a Comment