Balasan Di Dunia Atau Di Akhirat ?

by Ikhtiar on July 7, 2009

Jika hati di tanya syurga atau neraka, sudah pasti hati akan berkata syurga sebagai tempatnya . Jika ditanya ada apa dengan neraka, pasti perasaan takut sedikit tergambar. Membayangkan diri diseksa dengan api yang panas ditambah air mendidih mengelegak. Membuatkan kita terkedu, terkesima namun perasaan itu hanya sementara, ibarat angin bertiup lalu.
Tiada siapa dapat menduga bilakah tarikh kematian ?

Soal hidup atau mati hanya ditentukan oleh Allah SWT sejak di Luhul Mahfuz lagi. Kita tidak pasti, mati pada bila, di mana, petang atau dan malam, namun mati itu memang ada berketetapan dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati”
(Ali-Imran : 185)


Assalamualaikum. Saya nak tanya satu soalan. Betul ke kalau kita buat jahat, benda jahat yang kita buat itu akan terkena balik pada kita sebelum kita meninggal dunia walaupun kita dah benar2x buat taubat nasuha? Sebab saya ada dengar dia akan kena juga sebelum kita meninggal sama ada kena pada kita atau orang kita yang sayang.. Nak tanya kepastian, betul ke?

Soal menghukum dosa atau pahala, tempatnya syurga atau neraka bukanlah terletak kepada kita, namun ia terletak kepada Allah SWT. Seperti yang kita sedia maklum, lahirnya di dunia ini ibarat sehelai kain putih dicorakkan hitam maka hitamlah ia atau sebaliknya.

Saya membuat contoh di sini, jika Ahmad seorang yang beriman kepada Allah SWT. Melakukan perkara yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Segala amal kebaikan beliau akan dicatat oleh Malaikat dan tidak akan tercicir sedikit pun daripada perhitungan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(AZ-Zalzalah:7)

Lagi firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud :

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?
(Ar-Rahman : 60)

Adakah balasan atas perbuatan jahat akan diterima sebelum kita meninggal dunia?

Seperti yang saya katakan di atas sebentar tadi, soal dosa pahala atau balasan hanya ditentukan oleh Maha Pencipta. Walaupun kita sudah melakukan taubat, soal terima atau tidak adalah hak Allah SWT itu sendiri. Tetapi Firman Allah SWT dalam al-Quran ada menyebut yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Az Zumar: 53)

Tetapi ingatlah jika perbuatan kita di dunia baik, maka baiklah ia, dan jika kita berbuat jahat terimalah balasan yang akan diberikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
(Al Isra’ : 7)

Tetapi ingatlah wahai diriku terutamanya, jika kita ditimpa bencana atau musibah dan ia mungkin perbuatan kita yang lambau dan kembali semula kepada kita. Dan sesungguhnya balasan di dunia teramat ringan berbanding balasan di akhirat. Maka bersyukurlah kepadaNya kerana Dia sayangkan kita dan member balasan tersebut di dunia.

Namun sehingga kini masih ada lagi yang alpa, jika kita melakukan kemungkaran tetapi hidup dalam keadaan bersenang lenang, maka insaflah adakah Allah SWT akan menyimpan balasan tersebut di akhirat? Tetapi jika kita hidup dalam keadaan beriman kepada Allah SWT, maka balasan yang baik akan diterima. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Al-Mukminun : 111)

Manusia itu lemah, dan hanya memfokuskan kepada perkara yang zahir. Seperti dosa dan pahala yang tidak kelihatan. Bukan ibarat seperti keputusan undian melalui SMS sama ada tinggi ataupun rendah. Adakah dosa kita lebih banyak daripada pahala, ataupun sebaliknya. Tepuk dada tanyalah iman. Dan disebabkan itu ramai manusia yangg mengambil lewa perbuatan dan amalannya terutama sekali perbuatan yang dikeji oleh Allah SWT. Tiada yang terlepas berketetapan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Az-Zalzalah : 8)

Semoga dosa kita semua diampunkan oleh Allah SWT. Amin.

10 : 33 PM
Selangor

{ 4 comments… read them below or add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Previous post:

Next post: