Semuanya Kerana Al-Quran

Semalam saya dimaklumkan bahawa perhimpunan mingguan jabatan tahfiz diadakan pada hari khamis, bukan lagi hari jumaat. Kami dipanggil untuk berhimpun  yang pada ketika itu, semua pelajar sedang tekun membaca al-Quran mengikut halaqah masing-masing.

“Oh, ada sesi perkenalan pelajar baru rupanya” Cetus hati saya.

Ketika sesi perkenalan sedang berjalan, saya terdengar salah seorang pelajar baru ini mempunyai kelulusan dalam bidang engineering. Ia seperti satu yang menarik sebenarnya bagi saya.

Sejurus selepas selesai perhimpunan, saya tercari-cari pelajar baru yang dimaksudkan itu. Malangnya dek kerana kesuntukan masa, saya batalkan niat tersebut.

Ketika di kafetaria, saya terserempak dengannya. Namun mungkin bukan rezeki saya untuk menyapanya. Saya biarkan ia berlalu. Mungkin kerana niat mahu bertemu dengannya, Allah SWT izinkan untuk bertemunya sekali lagi di waktu sebelah petang.

Pertemuan singkat di hadapan pejabat ketua jabatan. Saya berborak panjang dengannya. Tidak ada kerusi, sekadar berdiri.

“Abang ambil diploma tahfiz ya?” Saya bertanya.

“Aah, alhamdulillah dapat tajaan”.

“Dengarnya abang ini ada kelulusan engineering eh, dari mana abang?”

“Oh, aah ya. Di UIA. Sekarang abang dah kerja 4 tahun dengan kerajaan. Tapi sebab nak sambung diploma tahfiz. Jadi kena cari kerja lain la kan. Cari kerja part time malam ke macam mana nanti.”

“Oh berapa umur abang sekarang? Dah kahwin?”

“Alhamdulillah dah kahwin, ada dua orang anak. Umur sekarang 33 tahun”.

Tiba-tiba saya terasa kagum dengannya. Agak sukar sebenarnya berada di stuasi seperti yang dirinya hadapi. Seorang yang berani mengambil risiko untuk sambung belajar. Bukan cuti bergaji, tetapi keluar terus dari sektor awam. Satu cabaran buat dirinya. Lagi-lagi sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.

Saya bertanya lagi. “Kenapa abang masuk diploma tahfiz?”

“Nak tahu tak, kawan-kawan abang semuanya ada yang dah sambung master, PhD pun ada. Tapi abang buat keputusan ini, sebab al-Quran. Abang dari dulu mahu menghafaz al-Quran dan inilah masanya.”

“Masha allah……” Saya sangat-sangat terharu pada ketika itu.

Tidak ramai yang tahu tentang hakikat hidup yang sebenarnya. Semuanya kerana al-Quran. Pertemuan singkat ini benar-benar bermakna bagi saya.

Alhamdulillah.

Semoga Allah memberkati segala usaha beliau.

2 Comments

  1. aisy February 23, 2013

Leave a Reply