[Repost] Aku Dan Ramadhan

Malam masih muda, aku masih tidak mengerti mengapa aku belajar semua ini? Menahan lapar dan dahaga, tatkala disiang hari berpanas terik. Aku gagahkan diri untuk merenung perjuanganku sebagai kanak-kanak yang meningkat dewasa. Saat inilah ketika umurku sudah menjangkau 12 tahun, aku belajar bagaimana untuk menghayati erti sebenar bulan ramadhan.

Masa lampau membuatku terfikir sendirian, apabila aku lapar, apabila aku dahaga, peti ais jualah yang dibuka. Lambakan makanan membuatkan aku terliur menahan lapar. Saat ponteng berpuasa sudah menjadi amalam suatu ketika dahulu. Sehinggakan tiada seorang pun tahu kerana aktivitiku hanya tertumpu di dalam rumah. Sungguh bijak aku menjalankan operasi tanpa ada sesiapa yang mengesyaki.



Ia berlanjutan ketika aku masih kecil sehinggalah aku berumur 12 tahun. Ketika umur baru setahun jagung, aku di hantar ke sebuah pusat pengajian pondok moden. Pada mulanya aku begitu tidak selesa dengan keadaan di sana. Masakan tidak aku perlu hidup dalam keadaan bermujahadah dengan bersyukur apa yang ada.Apabila Ramadhan menjelma kembali, aku merasakan seolah-olah berada di dalam sebuah penjara yang tidak berpenghuni. Pergerakanku sedikit terbatas. Bagaimana aku mengharungi cabaran dalam berpuasa ketika itu? Oh satu pengalaman yang cukup membuatkan aku tersedar dari satu lamunan! “Ikhtiar, bangun sahur cepat. Dah lewat ni!” Kejut Sahabatku.

“Erk, awal apanya baru pukul 3.45 pagi?” Aku sedikit geram.

“Lambat otak hang, pi mandi cepat. Nak tahajjud lagi!” Gertak sahabatku.

Aku bingkas bangun tatkala melihat kawan-kawanku sedang bersiap dengan berjubah berserban lagi. Setelah bersiap, aku turun ke surau dan mengerjakan solat sunat tahajjud. Sungguh dingin waktu itu, namun mata ini semakin berat untuk aku pikul. Usai solat di surau, kawan-kawanku mengajak untuk ke dewan makan bagi menikmati juadah sahur yang telah tersedia.

Pada sebelah petang pula, selepas waktu asar aku dan kawan-kawan tidak dibenarkan untuk keluar beriadah selagi tidak cukup berzikir sebanyak 300 kali. Agak lama ketika itu, kerana ustaz berzikir dengan berlagu masakan ia boleh dipendekkan. Aku sedikit merungut kerana tidak biasa dengan suasana sedemikian. Namun aku tabah dan berjaya menghabiskan alunan zikir tersebut.

Seperti biasa, saat berbuka bersama kawan-kawan dan keluarga mempunyai sedikit perbezaan. Tidak semua makanan yang diimpikan berada di depan mata. Pernah suatu ketika itu, hidangan berbuka ketika itu adalah Bee Hoon Sup. Namun, mangkuk aku hanya berisi dengan Bee Hoon dengan kuah yang mungkin hanya cukup dua sudu. Sangat kering seperti musim kemarau yang baru sahaja melanda.

Perasaanku sedikit sedih tatkala umur baru menjangkau 12 tahun. Faham sahajalah, bukan tidak bersyukur tetapi mentaliti aku ketika itu masih lagi kebudak-budakan. Aku tidak berani untuk menambah sup kuah kerana amat takut dengan tukang masak yang sangat garang. Sudah beberapa kali tasbih ‘gergasi’nya hinggap dibadanku gara-gara lewat hadir ke surau.

Waktu berbuka tinggal lagi beberapa minit, dan aku perasaanku masih gudah gulana. Ketika itu aku memang menjadi seorang yang sangat pendiam. Aku menoleh ke kiri, menoleh ke kanan melihat kawan-kawanku seronok bergurau senda. Namun, mataku masih lagi tertumpu dengan Bee Hoon yang sedikit kemarau. Entah macam mana, tiba-tiba dihadapanku mempunyai satu cawan berisi air Teh O. Setelah memastikan ia tidak bertuan, aku lantas menuangkan air Teh O ke dalam mangkuk tersebut.

“Ah banjir juga Bee Hoon aku”. Keluh dalam hatiku.

“Allahu Akhbar, Allahu Akhbar”. Azan berkumandang menandakan masuk waktu berbuka.

Aku mencapai sebiji tamar sebagai mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. ketika berbuka. Aku pun menjamah Bee Hoon sup yang dicampur dengan Teh O. Pengalaman yang sungguh unik bagiku. Walaupun aku tidak dapat menjamah seperti kawan-kawanku yang lain, aku masih tetap bersyukur kerana Allah masih memberikan aku rezeki. Oh pemikiranku sedikit jauh hasil tazkirah yang tidak putus-putus aku dengar hampir setiap hari dan waktu.

Selesai sahaja berbuka dan solat mahgrib, aku menuju ke surau bagi menunggu masuk waktu azan Isya’. Pendiam aku sekalipun, perwatakan aku agak riuh sehingga dipanggil oleh abang-abang senior. Apabila saat solat sunat terawih, ramai juga yang menghilangkan diri apabila sudah lengkap 8 rakaat. Masakan tidak, aku tidak pernah mengikuti solat sunat terawih yang dibuat sehingga khatam satu al-Quran. Satu malam, satu juzuk sehinggakan lutut aku sedikit bergegar.

Aku tidak biasa dengan semua ini. Mahu sahaja aku lari meninggalkan surau. Namun, aku perlu meneruskan juga. Ah, umurku masih kecil. Aku mengomel sendirian.

Begitulah kehidupanku di dalam bulan ramadhan. Jika melihat dari sudut pengalaman berpuasa, sudah tentu-tentunya dalam posisi ponteng puasa. Namun seperti yang aku katakan, aktivitiku hanya berjalan seorang diri. Aku tidak pernah ponteng puasa bersama kawan-kawan. Dan sehingga hari ini, tiada siapa tahu termasuklah ayah dan ibuku serta adik beradik yang mengetahui tentang perjalananku sebagai pemonteng puasa suatu ketika dahulu.

Dan hari ini, aku bersyukur kerana kehidupan di situ telah merubah kehidupanku. Dari seorang yang jahil tentang agama, tetapi kini mempunyai sedikit ilmu yang dapat dikongsi bersama. Sudah sembilan tahun peristiwa itu berlalu, dan pastinya akanku kenang bagaimana aku ditarbiah saat menghayati erti bulan ramadhan.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang ingin aku coretkan pengalaman di sini. Namun, entri ini sudah terlalu panjang untuk aku nukilkan. Walaubagaimanapun terima kasih Ramadhan kau sempat menemui dan kini kau kembali, dan bakal pergi meninggalkan aku.

5 Comments

  1. samdaddycool September 7, 2009
  2. maza September 7, 2009
  3. MyIkhtiar September 8, 2009
  4. Kujie September 30, 2009
  5. MyIkhtiar October 7, 2009

Leave a Reply