Panduan Meraikan Majlis Pertunangan

panduan pertunangan

Melangkah ke usia remaja, hati berbunga mahu bercinta.

Melangkah ke usia dewasa, hati meronta mahu berumah tangga.

Melangkah ke usia senja, hati runtun memikirkan dosa.

 “Soal kahwin jangan main-main” Itulah pesan orang-orang tua.

“Nak bagi anak orang makan pasir ka?” Pesan lagi bernada sinis.

Keluhan demi keluhan yang kita dengar. Hati mereka meronta mahu berumah tangga. Namun tidak berdaya untuk menyakinkan kedua orang tuanya.

Namun begitu, apa matlamat sebenar kita mahu mendirikan rumah tangga? Membina masjid itu mudah, kukuhkan tiang masjid itu sukar.

Fasa Bertunang

 “Pertunangan perlu disebarkan”

Ya, pertunangan perlu disebarkan agar orang tahu bahawa kita bakal menjadi isteri atau suami kepada seseorang. Tambah lagi ia perlu disebarkan agar orang tahu kita kita ini sudah berpunya. Maka, tidak perlulah orang lain nak sibuk berkirim salam. Begitukah?

Begitukah fasa orang bertunang sebenarnya?

Pertunangan adalah satu bentuk ikatan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Ikatan yang ditentukan dalam tempoh masa yang dipersetujui.

Saranan Rasulullah SAW agar kita hanya war-warkan sahaja perkahwinan. Begitulah.

Jadi ada orang yang bertunang 3 bulan, 6 bulan, 1 tahun mengikut persediaan masing-masing. Dalam tempoh pertunangan itulah pelbagai ujian bakal mendatang.

Hipotesis saya, semakin singkat tempoh bertunang seseorang, semakin singkatlah cabaran dan ujian yang dihadapinya.

Tempoh Bertenang Dalam Fasa Bertunang

Berkongsi dengan apa yang saya rasa. Rasa dengan apa yang saya tempuhi.
Tempoh bertenang bukanlah perkara yang mudah. Setenang-tenang hati di dada, jangan sangka syaitan yang wujud seakan tiada. Ini bukan cubaan, tapi dugaan. Ini bukan rintangan, tapi cabaran.

Cerita dua tahun lalu

Saya bertunang dan diikat selama sekitar 6 hingga ke 7 bulan.

Pertemuan diatur, kami mencapai kata sepakat.

23 Ogos 2013, alhamdulillah saya bertunang dengannya.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman kita saya menempuhi hari pertunangan.

#1 Kos Perbelanjaan

Berbelanjalah selagi kita rasa mampu, bukan menuntut nafsu hati yang asyik berkata mahu.

Saya percaya, ada di kalangan kita yang mahu menjimatkan perbelanjaan. Baginya cukup sekadar sebentuk cincin tanda ikatan. Itu sudah memadai.
Jika anda berfikiran begitu, saya juga turut serta.

Namun sebagai anak muda, meraikan adat Melayu dilihat sebagai adab kepada generasi lama. Tiada salah kalau kita memberikan hadiah kepada mereka. Saya sendiri menghadiahkan 3 dulang hantaran berupa telekung, sejadah dan cincin. Ia itu sudah memadai.

#2 Pakaian Menutup Aurat

Si lelaki rasa tiada masalah. Tak akan pula menyarung seluar pendek di depan bakal bapa mertua pula.

Ada pun bagi wanita, pilihlah pakaian yang kita rasa ia sesuai dengan jiwa seorang muslimah.

Dari segi longgarnya, labuhnya, bertutupnya itu adalah syarat malah syariat.

Jangan sempitkan pemikiran bila disebut bertudung labuh. Cari maksud sebenar bertudung labuh. Pakailah apa sahaja tudung asalkan kita bagi wanita mampu menutup seperti apa yang tertakluk dalam hukum Allah.

#3 Adab Pergaulan

Perlukah kita mengadakan sesi fotografi bersama kedua-dua bakal pengantin?
Kedua-duanya bukan mahram. Tetapi secara jelas tiada sebarang hukum yang menjatuhkan sebagai haram.

Namun secara peribadi, ia seharusnya perlu dielakkan bagi menjaga maruah dan fitnah bagi kedua-dua belah pihak. Cukuplah sekadar gambar bersama keluarga.

Ketika saya sekeluarga bertandang ke rumah bakal tunang, tiada sebarang bentuk kata yang saya tuturkan. Kami sekadar berpandangan sesama sendiri.

Menyulam Hati, Menjejak Serasi

Pertunangan untuk kita berkenalan-kenalan di antara satu sama lain. Tetapi bukan lesen untuk kita keluar berdua-duaan.

Bagi pasangan yang mahu menjaga hati di antara satu sama lain. Saya kongsikan sedikit tip buat sahabat-sahabat di luar sana.

#1 Barang Hantaran.

Barang hantaran adalah satu hadiah. Hantaran adalah satu adat.

Tentukan berapa dulang yang mahu kita berikan. Tentu kita agak serabut memikirkan tentang saiz kasut, beg tangan yang disukai dan sebagainya. Mudah sahaja, berikan sahaja wang kepada bakal tunang dan biar dia sahaja yang membelinya.

Kemudian poskan kepada kita untuk proses menyiapkan dulang hantaran. Mudah bukan? Tidak perlu nak keluar bersama mencari. Kata mahu jaga hati kan?

# 2 Persiapan Baju Pengantin

Saya ada tiga helai baju pengantin. Sehelai jubah putih ready made, dan 2 helai baju melayu sepasang beserta sampin.

Pihak perempuan membelikan saya 4 meter kain untuk dipakai di rumahnya. Saya pula membelikan dia 4 meter kain untuk majlis bertandang. Kemudian masing-masing pos kan. Kata mahu jaga hati?

Bila menyentuh tentang baju melayu ini, teringat peristiwa ketika majlis di rumah saya. Kawan ayah saya bertanyakan mana satu pengantin ini. Sedangkan saya berdiri di sebelahnya. Sadis kot! #akuyangjadipengantinkausiaptanyasiapa

Penutup Bicara

Mengapa saya menulis artikel ini? Saya mahu mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama kita meraikan majlis yang jelas tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Bermewah, tetapi jangan berlebihan.
Bergaul, tetapi jaga batasan.

Undur diri, jumpa lagi.

Leave a Reply