Merentasi Destinasi Pasti

Sedang asyik membaca akhbar harian Metro,saya terlihat ruangan kiriman surat pembaca. Luahan yang cuba disampaikan membuatkan saya tertarik untuk meneruskan pembacaan. Gadis 20 an yang baru menginjak usia ke peringkat dewasa. Tidak bertudung, tidak berpuasa apatah lagi jarang bersolat. Mempunyai keluarga yang tidak berlatarbelakangkan agama membuatkan gadis tersebut kurang penghayatan dalam didikan agama.

“Saya berasa sedih, kini saya baru mula nak belajar memakai tudung, bersolat. Tetapi saya sedih di hina kerana tidak memakai tudung. Saya dihina di depan pihak keluarga lelaki. Saya rasa sangat sedih. Saya berterima kasih kepada sahabat saya kerana cuba membimbing saya. Namun ini yang saya dapat”

Luahan beliau membuatkan fikiran saya melayang seketika. Saya mempunyai beberapa peristiwa yang hampir sama seperti situasi gadis di atas. Dihina, diherdik apatah lagi disisihkan oleh segolongan kumpulan.

“Mengapa tidak memakai tudung?” Saya bertanya kepada seorang gadis.

“Tidak pernah orang memaksa saya memakai tudung”

“Perlu dipaksa ke?” Saya bertanya lagi.

“Keluarga saya tidak pernah ambil kisah. Tetapi niat di hati teringin nak berubah”

Allah mengingatkan kita akan sifat ini yang mana disamping kita menyeru manusia jangan pula kita lupa diri dan ahli keluarga kita kerana natijahnya adalah amat memberatkan kita kelak.

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

(Surah al-Baqarah 44)

ANDA ANDA FACEBOOK?

Saya percaya di antara semua pasti mempunyai akaun facebook. Sebuah rangkaian sosial yang kini mempunyai jutaan ahli. Hampir majoriti yang kita lihat gadis tidak bertudung mendominasi facebook secara keseluruhannya. Tak akan kita mahu membiarkan begitu sahaja. Bukankah dakwah itu dalam apa jua keadaan?

Masih ingat lagi artikel sebelum ini? Saya ada mempunyai senarai kawan tidak bertudung di dalam facebook. Saya namakan sebagai Ziana. Gadis 20 an yang kini terpaksa bekerja mencari punca pendapatan untuk dirinya sendiri. Berniat untuk meneruskan pengajian apabila mencukupi wang kelak. Dia tidak bertudung, tetapi mempunyai hajat untuk berubah. Inilah masanya.

Gadis yang saya lihat daripada jauh, gambar yang penuh dengan kehidupan sosial tetapi mempunyai hati untuk berubah? Ya dia ingin berubah tetapi tiada siapa dapat membimbingnya.

“Alah ajaklah dia join usrah”

“Alah suruhlah dia pergi masjid”

“Alah suruhlah dia cari ustaz”

Adakah ini alasan kita?

Daripada Dia kita datang, Daripada Dia Kita Kembali. Tiada siapa dapat menyangkal kewujudan Allah SWT yang sememangnya wujud. Sudah terpatri di hati kita bahawa tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

KEJADIAN DI PAGI SUBUH

Ketika itu saya sudah bersiap untuk turun ke surau, lagi beberapa minit sahaja lagi azan subuh akan berkumandang. Melihat rakan masih lagi enak dibuai mimpi. Sedangkan warden sudah beberapa kali membunyikan siren loceng menandakan waktu subuh. Saya mengejutkan seorang demi seorang ahli bilik saya. Namun responnya tetap sama. Azan subuh mula kedengaran.

Saya melangkah ke surau kelihatan jemaah agak kurang berbanding sebelum ini. Selepas solat subuh mata saya meliar mencari ahli bilik. Namun hanya beberapa orang sahaja yang kelihatan. Kami tidak dibenarkan keluar ke dewan makan.

“Mana kawan-kawan yang lain?” Ustaz mula berteriak.

“Antum nak masuk syurga sorang-sorang ke? Mana tanggungjawab sebagai orang Islam? Kita hidup dalam jemaah. Syurga untuk semua umat Islam. Kejut kawan sampai bangun” Tambah ustaz lagi.

Ketika di sekolah amat sukar untuk meninggalkan solat fardhu secara berjemaah. Lewat datang ke surau? Dahi dan lutut saya menjadi saksi. Beberapa kali saya asyik bersolat di atas jalan yang penuh dengan kesan batu-batu kerikil.

HIDUP DALAM BERJEMAAH

Mungkin saya boleh mengaitkan dengan situasi di atas. Kadang-kadang kita suka memandang serong terhadap perempuan tidak bertudung. Siapa tahu di suatu lubuk hatinya ingin berubah, namun tiada siapa dapat membantunya.

“Alah perempuan pakai tudung pun sama je perangai macam #%@#%#%!”

Sewaktu saya menyertai barisan pimpinan, pelbagai situasi saya jumpa antaranya dalam kalangan mahasiswi. Secara zahirnya kita melihat mereka sopan dalam keadaan bertudung. Namun kita tidak pernah tahu bagaimanakah kehidupan mereka sebelum ini. Sedikit kesal apabila ada segelintir barisan pimpinan menegur seolah-olah mereka mempunyai kesalahan yang besar. Hati mana yang tidak sakit, saya sekadar memandang daripada jauh. Itu urusan orang perempuan.

Orang yang baru merangkak mengenal Islam. Tiada siapa tahu. Lainlah jika mereka benar-benar seorang yang liar dan sukar mendengar kata. Dalam pada masa yang sama, saya juga pernah menerima pelbagai maklumbalas secara positif.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada akak2 dan abang2 mpm. Sebab bimbing saya melalui usrah, mengajak ke masjid. Saya dah suka pakai tudung. Keluarga saya gembira sangat saya dah berubah”

Hati saya sedikit tersentuh. Siapakah gadis yang bertuah itu. Saya tidak mengenali. Mungkin di kalangan pimpinan siswi mengenali gadis tersebut.  Satu langkah awal dalam menghayati keindahan Islam.

KEHIDUPAN SEORANG BAYI

Saya pernah bertanya kepada seorang pimpinan siswi bertudung labuh berniqab.

“Dulu masa kecil, pakai tudung tak?”

“Tak pakai pun, masa tu pakai seluar pendek, bermain dengan kawan lelaki”

“Bila mula pakai tudung?” Saya bertanya lagi.

“Lepas ayah hantar masuk sekolah menengah agama”

Ini adalah situasi kini gadis bertudung labuh berniqab. Ketika hayatnya di sekolah rendah, seluar pendek menjadi pakaiannya. Dia berubah apabila berada di suasana pengajian berorientasikan pendidikan Islam.

Cuba kita bayangkan situasi yang kedua.

Seorang gadis sama seperti hayatnya dengan gadis bertudung labuh. Walaubagaimanapun, Allah telah menetapkan dia bersekolah di menengah biasa. Penuh dengan pengaruh rakan, kehidupan sosial mungkin boleh terjebak. Apakah nasib gadis tersebut?

Nama saya Ikhtiar. Sehingga hari ini saya macam tidak percaya saya menuntut dalam bidang pengajian Islam. Siapa sangka, ketika waktu di sekolah rendah saya agak nakal. Pulang daripada sekolah, terus lesap berada di padang bola. Hari minggu? Turut lesap bersama rakan. Melastik burung, meredah hutan. Itulah aktiviti lasak saya.

Bagaimana ayah dan ibu mendidik saya?

Seingat saya, baru bulan lepas ayah memberitahu.

“Kalau ikut hati ayah, masa kau kecil ayah dah belasah dah cukup-cukup. Tapi ayah tahu tak ada guna kalau ayah sentuh kau”

Saya tergamam seketika. Betul apa yang ayah cakap kepada saya. Entahlah, sepanjang saya hidup ayah tidak pernah merotan saya apatah lagi mahu menyentuh. Cuma perbuatan ayah menghalau  saya daripada rumah masih kekal diingatan sehingga sekarang.

“Mak dulu kalau cakap sekali memang kena, kau tengok abang dengan kakak kau”

Bak kata kakak dan abang saya, papan karom tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Ketika itu mak mula marah dan mak geram terus membuang papan karom tersebut. Saya juga pernah beberapa kali kena apabila libasan getah paip hinggap di badan saya. Mak amat garang ketika waktu kecil. Namun semenjak anak-anaknya meningkat dewasa, mak antara insan yang paling baik, sangat memahami jiwa anaknya.

MERENTASI DESITINASI PASTI

Usah terlalu cepat menghukum. Usah terlalu cepat membuat andaian. Bila manusia itu tidak sempurna, maka tiada yang sempurna baginya.

Kita perlu akur sebagai seorang manusia, kekurangan yang sentiasa ada. Cacat cela yang jelas kelihatan. Namun jangan jadikan ia sebagai satu sandaran untuk kita sukar maju ke hadapan. Tidak kira siapa pun kita, lelaki mahupun wanita, baik mahupun jahat. Destinasi kita tetap berakhir di tempat yang sama.

Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu , melainkan mereka (berusaha) mengubahnya sendiri..”

Tutupkan kelemahan kita, ratakan matlamat kita, binakan suatu usaha, pasti kejayaan menjelang tiba.

Salam kejayaan buat kalian!

Leave a Reply