Buat Wanita Yang Aku Hargai

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ yang bermaksud :

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.

(An-Nisa : 1)

Wanita sering dikaitkan dengan golongan yang lemah dan sering ditindas. Apatah lagi golongan ini juga sering menjadi mangsa kepada golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Maka tidak hairanlah, timbul pelbagai isu antaranya penderaan, pencabulan, peras ugut dan sebagainya. Islam telah meletakkan kaum wanita di tempat sewajar dan sepatutnya yang sesuai dengan fitrah kejadiannya yang dijadikan daripada tulung rusuk nabi adam.

Pada suatu ketika dahulu, kisah sejarah bangsa arab di zaman jahiliyyah telah melakukan penindasan terhadap golongan wanita.  Penindasan ini berlaku apabila lahirnya seorang anak perempuan, apabila lahirnya seorang bayi kecil berjantinakan perempuan maka, mereka akan menanam secara hidup-hidup pada golongan ini. Mereka mengganggap kelahiran anak perempuan itu akan mendatangkan perasaan malu dan keaiban ke atas keluarga mereka. Ini yang terjadi seperti mana Allah SWT ada berfirman dalam surah An-Nahl yang bermaksud :

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(An-Nahl : 58-60)

HIDUP DALAM BERPASANGAN

Allah SWT menjadikan semua makhluk di atas muka bumi adalah dalam keadaan berpasangan antara lelaki dan perempuan. Fitrah kejadian yang mana lelaki berkeinginan terhadap wanita, dan wanita berkeinginan terhadap golongan lelaki.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ yang bermaksud :

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa).

(An-Nisa : 1 )

Saat kita dilahirkan maka kita mempunyai tanggungjawab besar sebagai seorang khalifah tidak kira lelaki mahupun wanita. Allah SWT tidak membezakan kedua-dua golongan ini dalam memberi ganjaran pahala setiap amal soleh yang dilakukannya. Apa yang penting, kedua-dua golongan ini mempunyai peranan tersendiri dalam mengatur kehidupan di dunia. Sebagai contoh wanita yang akan menjadi isteri kepada seorang suami dan sebaliknya.

AMANAH ; LELAKI TERHADAP WANITA

Golongan lelaki merupakan pemimpin yang diamanahkan supaya melindungi golongan wanita. Sebagai seorang lelaki, tanggungjawab ini adalah seiring dengan beberapa kelebihan yang terdapat kepada kaum lelaki. Apabila menyentuh soal tanggungjawab, sudah semestinya ia sangat berkait rapat dengan amanah. Apakah kita sebagai seorang lelaki menjalankankan amanah tersebut?

Firman Allah SWT dan surah An-Nisa yang bermaksud :

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(An-Nisa’ : 34)

Persediaan ; 3 Peringkat

Peringkat 1 :  Dewasanya Seorang Lelaki

Pada peringkat ini kita perlu memahami apakah peranan kita sebelum bergelar seorang suami kepada isteri. Tanggungjawab tidaklah semata-mata terletak kepada suami, tetapi ia perlulah mengikut kondisi yang ditetapkan.

Pada peringkat ini saya meletakkan kaum lelaki pada ketika ini masih belum berkahwin.  Lelaki yang telah akil baligh dalam proses pembelajaran dan alam pekerjaan. Walaupun ia berada di peringkat awal, tanggungjawab kepada ibu terutamanya tidak boleh dipandang remeh. Tanggungjawab ini sentiasa berterusan sama ada kita belum berkahwin ataupun sudah berkahwin. Skop ini juga ditujukan kepada kedua-dua golongan iaitu lelaki dan wanita.

Tatkala seorang anak perempuan bertanyakan kepada ayahnya yang sudah tua, tanpa disengajakan anak perempuannya melihat ayahnya mengusap wajahnya yang mulai berkerut dengan badannya yang makin membongkok dimamah usia dengan suara batuk tuanya…

Lalu anak perempuan itu bertanyakan kepada ayahnya : “ayah, kenapa wajah ayah makin berkerut dan badan ayah kian hari kiat membongkok???” demikian pertanyaan anak perempuan kepada ayahnya ketika sedang santai di beranda,

Si ayah menjawab ” Kerana aku lelaki “

Anak perempuan itu berkata tidak memahami apa yang telah dimaksudkan oleh ayahnya itu dengan sendirian ”aku tidak mengerti” dengan berkerut kening kerana jawapan si ayahnya membuat hatinya bingung.

Ayah hanya tersenyum, dipeluk dan dibelainya manja rambut anaknya sambil menepuk bahunya dan berkata “Anakku kamu memang belum mengerti tentang lelaki “. Demikian bisik sang ayah yang membuat anaknya bertambah bingung.

Kerana perasaan ingin tahu lalu si anak perempuan segera mendapatkan ibunya untuk bertanyakan persoalan yg membingungkan dirinya itu, si anak perempuan bertanya kepada ibunya :

“Ibu, mengapa wajah ayah kian berkerut dan badan ayah kian hari kian membungkuk? dan sepertinya ayah mengalami demikian tanpa ada keluhan atau rasa sakit ???”

Ibunya menjawab “Anakku, jika memang seorang lelaki bertanggung jawab terhadap keluarga itu memang akan demikian “. hanya itu jawaban si ibu dan anak itupun kemudian tumbuh dan menjadi dewasa, tapi ia tetap masih mencari-cari jawapan, kenapa wajah ayahnya yang tampan berubah menjadi berkerut dan badannya membungkuk??

Hingga suatu malam ia bermimpi, dan dalam mimpinya ia seolah-olah ia mendengar suara yang lembut dan kata-katanya terdengar dengan jelas, itu ternyata rangkaian jawapan pertannyaannya selama ini yang selalu ia cari.

”Saat kuciptakan lelaki, Aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga, serta sebagai tiang seri dari bangunan keluarga tersebut, dan ia senantiasa akan berusaha menahan setiap hujungnya agar keluarganya senantiasa merasa aman, teduh dan terlindungi. “

“Kuciptakan bahunya yg kuat dan berotot untuk membanting tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat untuk melindungi seluruh keluarganya. “

“Kuberi kemahuan kepadanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih, walaupun seringkali ia mendapat cercaan dari anak-anaknya, “

“Kuberikan keperkasaan dan mental pintar yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya ia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya ia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan karena tersiram hujan dan terhembus angin, ia relakan tenaga perkasanya demi keluarganya dan yang selalu dia ingat adalah disaat semua keluarganya menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil jerih payahnya.”

“Kuberikan kesabaran, ketekunan dan dan kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa ada keluh kesah. walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan seringkali menerpanya.”

“Kuberikan perasaan kuat dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun, walaupun tidak jarang anak-anaknya melukai perasaannya dan hatinya.”

“Padahal perasaannya itu pulalah yang telah memberikan rasa aman disaat anak-anaknya tertidur lelap, serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anaknya agar selalu saling mengasihi dan menyayangi sesama saudara.”

“Kuberikan kebijaksanaan dan kemampuan kepadanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran kepada anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, bahkan seringkali ditentang dan ditolak oleh anak-anaknya. “

“Kuberikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan kesadaran bahawa isteri yang baik adalah isteri yang sentiasa setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang selalu menemani dan bersama-sama menjalani perjalanan hidup baik suka mahupun duka, walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi dan saling mengasihi.”

“Kuberikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahwa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya pikirannya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang bungkuk agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggung jawab terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga dan segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya. “

“Kuberikan kepada lelaki tanggung jawab penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga, agar dapat dipergunakan sebaik-baiknya, dan hanya inilah kelebihan yang hanya dimiliki oleh lelaki. walaupun sebenarnya amanah ini adalah di dunia dan di akhirat.”

Terkejut anak dari tidurnya dan segera ia berlari, berlutut dan berdo’a hingga menjelang subuh, setelah itu ia hampiri bilik ayahnya yang sedang berdoa, ketika ayahnya berdiri si anak menggenggam dan mencium telapak tangan ayahnya.

Sumber : Keringat Seorang Ayah.

Artikel ini menjelaskan kepada kaum wanita bahawa lelaki itu sebagai pemimpin yang berusaha untuk melindungi kerana ia satu amanah yang perlu dipatuhi.

Peringkat kedua : Apabila Seorang Lelaki Bergelar Suami Kepada Isteri

Fitrah manusia hidup dalam keadaan berpasangan. Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi. Fenomena yang kita lihat sekarang adalah kurangnya persediaan dalam melangkah ke alam perkahiwnan. Ia memperlihatkan kepada dua situasi iaitu sama ada sedang belajar atau sudah bekerja.

Pernikahan menyingkap tabir rahsia,

Suami isteri hidup suka dan duka,

Bersama menerima kelebihan dan kekurangan,

Dalam melayari bahtera rumah tangga.

Saya mempunyai lima orang adik beradik dan saya merupakan anak yang kelima. Mempunyai dua orang abang, dua orang kakak. Dua daripada mereka berkahwin ketika belajar dan dua daripadanya adalah sebaliknya. Seorang kakak saya berkahwin ketika menuntut di Jordan dan seorang abang ketika menuntut di UIAM.

Alhamdulillah kakak saya selamat dinikahkan oleh Pak Usu (adik kepada bapa saya) yang turut menuntut di sana. Sehinggalah ia sempat melahirkan seorang anak lelaki sebelum pulang ke Malaysia. Seperti yang kita tahu, kos sara hidup di Jordan terutamanya di Yarmouk dengan kadar nilai pertukaran matawang amatlah tinggi. Tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Sedikit pengetahuan dalam bidang komputer oleh suaminya ia mula  mengintegrasi kepada bisnes kecil-kecilan sehingga mampu menyara keluarganya.  Semua ini adalah izin dari-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ yang bermaksud :

Dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama.

(An-Nisa’ : 34)

Suami melindungi isterinya dalam semua aspek. Walaubagaimanapun maksud melindungi di sini ada sesetengah kita agak kurang memahami maksud sebenar. Melindungi bukanlah semata-mata kepada hal keselamatan diri, tetapi melindungi isteri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Kehidupan seorang suami boleh mempengaruhi kehidupan seorang isteri.

Apabila si suami mengamalkan sikap ‘ada aku kisah’ terhadap perbuatan isterinya, maka si isteri pun akan mengamalkan sikap ‘ada kau kisah’. Perumpaan ini boleh dizahirkan melalui pandangan mata kasar kita. Melihat suami isteri di khalayak umum, seorang berseluar pendek, seorang lagi berbaju ketat. Di mana letaknya maruah seorang suami?

Rasulullah SAW telah bersabda dalam satu hadith yang bermaksud :

“seorang suami itu pemimpin pada keluarganya dan ia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin “

(HR : Bukhari & Muslim)

Peringkat ketiga : Apabila Seorang Lelaki Bergelar Bapa Kepada Anak


Kelahiran anak merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu si suami dan isteri. Masakan tidak kedua-dua golongan ini akan bergelar seorang bapa dan ibu kepada anak yang bakal dilahirkan. Kelahiran cahaya mata merupakan rahmat terbesar yang diberikan kepada Allah SWT kepada hamba-Nya. Baik anak lelaki mahupun anak perempuan kedua-duanya tetap menjadi tanggungjawab penuh terhadap bapanya.

Kita perlu memahami bagaimana proses pembelajaran anak kita sewaktu kecil. Segala sistem pemikiran akan bersifat input secara menerus ke sistem output tanpa sebarang tapisan. Sebagai contoh, kita lihat kepada drama sekuel Tanah Kubur.

Drama ini mengisahkan kehidupan seorang keluarga yang hidup dengan penuh kemewahan. Walaubagaimanapun kehidupan mereka amat bertentangan dengan ajaran Islam. Sepanjang hayatnya beliau sering menipu dan menindas golongan yang memerlukan bantuan demi mengaut keuntungan. Namun tidak disangka-sangka ajalnya datang akibat serangan sakit jantung. Pelbagai jenis rintangan timbul saat ingin mengebumikan jenazah beliau. Drama ini cukup menginsafkan. Saya tidak mahu mengulas panjang, tetapi ingin memetik beberapa adegan yang perlu dipandang serius.

Adegan 1 : Lan (Ako Mustapa) pulang dari UK apabila mengetahui bapanya telah meninggal dunia. Apabila sampai di rumah, Pak Mat (Allahyarham M Rajoli) meminta Lan (Ako Mustapa) untuk menjadi imam solat jenazah.

Pak Mat                     : Lan yang lebih afdhal anak sendiri mengimamkan sembayang jenazah pada    bapanya. Sila lan…

Lan                               : Erm… Mom, why must sembahyang? Pak Mat, I’m sorry, I tak tahu semua tu.

Pak Mat                     : Aaaa tak apa, kalau Lan tak tahu Lan jadi mampu saja eh. Ikut belakang.

Lan                               : Erm..Mom, what he say??

Adegan 2 : Pak Mat (Allahyarham M Rajoli) mengajak Lan untuk membacakan surah Yasin.

Lan                               : Erm…sorry Pak Mat I tak pandai nak baca semua ni you know. I tak pernah baca pun. It’s very complicated, you know, kat US cepat je.. I mean kalau diorang mati, diorang tak letak atas tilam macam ni

Mom                           : What do you think?

Lan                               : Yahh.. diorang tak macam ni, diorang pakai suit…..

Pak Mat                     : Astaghfirullah (sambil menangis….)

Boleh tonton video di bawah ini :-

Drama ini cukup memberikan gambaran jelas tentang apa yang berlaku sekiranya kurangnya didikan agama terhadap anak-anak kita terutamanya. Cuba kita fahami, sekiranya generasi sedemikian yang dibentuk, apakah nasib generasi seterusnya? Apakah generasi cucu-cicit kita akan turut mengikut jejak bapanya kelak? Nauzubillah….

KESIMPULAN

Lelaki itu merupakan pemimpin bagi kaum wanita. Ia merupakan amanah. Ia perlu memimpin isteri agar melahirkan zuriat yang soleh. Kemudian anak itu perlu dipimpin agar dapat mencari pasangan yang boleh melahirkan zuriat yang mampu berpegang kepada ajaran Islam. Proses ini perlu berlaku secara berterusan agar generasi kini dan akan datang mampu menikmati kehidupan yang lebih baik.

Dan fahamilah, sebagai seorang lelaki apakah maksud sebenar melindungi kaum wanita 😉

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.”

(HR : at-Tirmizi)

Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.”

(HR : at-Tirmizi & al-Hakim)

Akhir kalam Saya berpesan kepada diri saya sendiri terutamanya dan kepada sahabat-sahabat sekalian. Lihatlah kepada kita kebesaran Allah, agar kita sentiasa mengingati-Nya. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita.

p/s : Selamat bertunang, selamat pengantin baru buat sahabat-sahabat yang saya kenali….moga Allah merahmati kalian.

Allahu’alam….

Ikhtiaruddin Md Yasim
5.30 am
18 Mac 2011

2 Comments

  1. ana March 20, 2011

Leave a Reply