Al-Fatihah Buat Mereka Yang Disayangi

Pilu rasanya apabila mengenangkan tragedi tanah runtuh yang menimpa warga Rumah Anak Yatim Al-Takwa. Kematian yang tidak dijangka itu telah mengorbankan seramai 16 orang kanak-kanak termasuk orang dewasa.

Saya pernah tinggal bersama sekolompok anak yatim ketika menuntut di Pusat Pengajian al-Quran dan Dakwah. Ketika itu umur saya baru menjangkau 12 tahun. Saya memerhatikan mereka. Mereka kanak-kanak yang tidak beribu, tidak berbapa. Apa yang mereka ada adalah limpahan kasih sayang yang diberikan oleh guru-gurunya.

Mereka diberikan didikan yang sempurna, mereka menghafaz al-Quran, mereka belajar memakai serban, jubah, hidup dalam serba kekurangan. Namun itu tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuk meneruskan kehidupan.

“Berapa umur awak?” Saya bertanya. Ketika itu pelajar-pelajar sedang menunggu waktu bersolat Asar berjemaah.

“8 tahun abang”.

“Sorry kalau tanya, mana ayah dengan mak?” Soalan yang dirasakan kurang sesuai sebenarnya.

“Mak dengan ayah dah meninggal masa saya kecil. Kena langgar lori , abang”.

Tersentuh hati saya ketika itu. Kanak-kanak kecil yang ketika ini sangat memerlukan sokongan dari ibubapanya. Hakikatnya mereka sudah tiada.

Saya menggosok-gosok di bahagian belakangnya. Kehidupan yang sukar bagi mereka.

Apabila tiba hari minggu, kelihatan sekolompok anak-anak kecil ini berjalan terkedek-kedek membawa baldi yang dipenuhi dengan baju. Sekadar memerhatikan dari jauh. Nama pun kanak-kanak, kalau dah cuci baju sehelai dua, siap pun belum tentu. Sibuk bermain dengan buih sabun.

Tidak kira kecil mahupun besar, mereka tetap perlu diberi layanan yang sewajarnya.

Gambar ini dirakam sebelum kejadian tanah runtuh berlaku. Mereka ketika ini sedang berlatih nasyid. Lihatlah wajah anak-anak kecil yang berserban dan berjubah. Mereka pergi selama-lamanya menemui Allah Yang Esa.

Kita sendiri tidak menyangka tragedi seumpama ini berlaku ke atas kanak-kanak istimewa ini. Walaubagaimanapun, ketetapan yang diberikan oleh Allah SWT ini, mengandungi hikmah yang tersendiri.

Kita doakan mereka, kita sokong mereka, agar kehidupan anak-anak kecil ini diberi perhatian sewajarnya.

Al-Fatihah buat mereka yang disayangi..

Sumber imej

Leave a Reply