Ikan Masin VS Cili Padi


“Maaf awak, kalau saya masak nasi goreng je” Pinta isteri.
“Eh tak apa je, saya tak kisah lah”.

Isteri beberapa kali meminta maaf kerana hanya menyediakan nasi goreng untuk makan malam. Saya melemparkan senyuman kepadanya. Bagi saya, nasi putih dan telur goreng pun sudah memadai.  Barangkali sudah biasa ketika bujang.

Mata saya tertumpu pada hidangan, kelihatan beberapa cebisan ikan masin. Saya bertanya pada isteri.

“Awak, ini nasi goreng ikan masin ke?”
“Aah ikan masin, kenapa? Awak tak makan ke?
“Eh makan, saja tanya”

Saya cuba menyuap ke mulut. Ternyata ikan tersebut menyebabkan saya terpaksa meneguk air bagi menghilangkan rasa masin. Perlahan-lahan saya mengalihkan cebisan ikan masin ke tepi pinggan.

Mata isteri tertumpu kepada saya.

“Awak tak makan ikan masin? ”Soal isteri.
“Hehe, tak kot” Sambil tersenyum.
“Laa yeke, sorry. Kalau saya tahu tadi, saya masak tom yam untuk awak”

Saya terus menghabiskan nasi goreng tersebut. Biarpun cebisan ikan masin kekal di tepi pinggan.

Ini kerenah saya. Mata saya pula tertumpu kepada isteri.

Perlahan-lahan dia mengalihkan cebisan cili padi. Saya tersenyum tanpa bertanya.  Saya tahu dirinya tidak makan masakan pedas.

Saya mengambil cebisan cili padi di pinggannya. Tiba-tiba dia pula mengambil cebisan ikan masin di pinggan saya. Masing-masing menyuapkan ke mulut sendiri.

“Ish, tak masin ke awak?” Saya kepelikan seketika.
“Tak lah, sedap!”

Saya tersenyum lagi. Ibunya juga pernah menyediakan juadah sarapan pulut dimakan bersama ikan masin. Tergamam juga pada ketika itu, maklumlah baru beberapa hari berada di Perlis.

BELAJAR UNTUK MENGENALI

Jika saya merenung matanya, dia cuba mengalih pandangan. Ada sesekali ‘memukul’ saya. Jika dia merenung, saya pula segera menutup mata. Ada kalanya bantal menjadi perisai buat seketika.  Panggilan ‘saya awak’ pula menghiasi sementara ruang kasih sayang sebagai suami isteri. Jika di kedai makan, kami akan duduk berhadapan secara bersilang. Sesekali duduk bertentang seperti agak sukar. Perasaan malu membataskan. Masih belajar dan perlukan masa sebenarnya.

PENUTUP BICARA

Hidup dalam berumah tangga sememangnya memerlukan pengorbanan. Samalah seperti kes saya di atas ini. Saya tidak makan bukan bermaksud tidak suka. Tetapi tidak biasa.

Jangan jadikan kekurangan itu sebagai satu jurang merapatkan kasing sayang. Latih diri kita juga supaya sentiasa meminta maaf. Biarpun seperti tidak ada salah, namun ia menunjukkan bahawa kita sentiasa menghormati pasangan. Akhir kata daripada saya, jadikan indah itu kekal di hati, biarpun gelora cabaran tetap menanti.

Wallahu’alam..

Nota : Syukur alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sudah pun bergelar suami pada 23 Mac 2013. “Habislah lepas ini, saham awak jatuh”. Usik isteri pada hari pertama.

Mohon doa daripada kalian.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Ini coretan pertama saya bagi tahun 2013. Barakallahufikum jami’an.

3 Comments

  1. Izham Alias April 18, 2013
    • Ikhtiar April 30, 2013
  2. zaremi September 13, 2013

Leave a Reply